Prasasti Grahi,Thailand: Gelanai & Telanai

On September 12, 2014 by cikgusejarah

800px-Chaiya_Wat_Kaew

 

Dalam Prasasti Grahi yang diukir emperor Sriwijaya dari dinasti Mauli,dalam bahasa Khmer tercatat:

… bahawa pada tahun Saka 1105 (1183), atas perintah Kamraten An Maharadja Srimat Trailokya raja Maulibhusanawarmadewa, hari ketiga bulan naik bulan Jyestha, hari Rabu, mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi menyuruh mraten Sri Nano membuat arca Budha. Beratnya 1 bhara 2 tula, dan nilai emasnya 10 tamlin.

Jika anda baca di atas,anda akan jumpa nama gabenor atau wakil pemerintah Sriwijaya yang memerintah Grahi iaitu GELANAI.

Sekitar abad ke-15,nama pemerintah Terengganu disebutkan sebagai Tun Telanai. Tun Telanai adalah gelaran,bukan nama. Diceritakan Tun Telanai berunding dengan Sri Dharmaraja yang sudah berpaksi kepada Ayutthaya supaya tidak menganggu Terengganu. Sri Dharmaraja masih menganggap bahawa negeri-negeri Melayu utara sehingga ke Pantai Timur masih di bawah pengaruhnya sebagaimana era emperor Chandrabhanu Sri Dharmaraja,pemerintah Ligor yang terkenal dengan kempen ketenteraannya sehingga ke Sri Lanka.

Terdapat misteri di sini. Adakah Gelanai dan Telanai adalah satu keturunan?

Buat pengetahuan anda,Grahi kini adalah Chaiya dalam wilayah Surathani di Thailand.

Perhatikan ‘G’ untuk Grahi dan ‘T’ untuk Terengganu.Bukan menekan tentang huruf tetapi sebutannya (Prasasti Grahi mungkin dalam skrip Khmer Kuno atau Kawi).

Membaca sejarah Melayu mesti banyak ‘cross-reference’.Sama seperti mencari rahsia mengapa dialek Patani boleh dijumpai sejauh Terengganu,Kulim di Kedah dan Hulu Perak.

Kemudian bertuahnya saya telah meneliti kembali teks asal Prasasti Grahi yang telah diterjemah terus dari batu bersuratnya. Saya telah mengesan sesuatu yang aneh; di mana terjemahan popular yang beredar di buku-buku dan internet tentang nama pegawai atau gabenor yang diperintah oleh Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusanawarmadewa untuk membuat arca Buddha bukanlah ‘gelanai’ tetapi sebenarnya ialah ‘telanai’.

Sebagai ulangkaji bagi yang belum mengetahui tentang prasasti ini, Prasasti Grahi ialah sebuah batu bersurat yang ditemui di Wat Hua Wieng di Chaiya, wilayah Surathani di Thailand sekarang. Apa yang menarik pada Prasasti Grahi ialah walaupun ia ditemui di Thailand tetapi ia bukan berkenaan raja Siam. Prasasti pula ditulis dalam bahasa Khmer tetapi ia bukan pula menceritakan tentang raja Kemboja.

Ia menceritakan tentang seorang raja Melayu yang memerintahkan seseorang membuat arca!

 

Ini adalah teks terjemahan ke Bahasa Melayu standard yang beredar meluas di mana-mana:

 

“…bahwa pada tahun Saka 1105 (1183), atas perintah Kamraten An Maharadja Srimat Trailokya raja Maulibhusanawarmadewa, hari ketiga bulan naik bulan Jyestha, hari Rabu, mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi menyuruh mraten Sri Nano membuat arca Budha. Beratnya 1 bhara 2 tula, dan nilai emasnya 10 tamlin…”

 

Salah satu sumber terjemahan ini terdapat dalam buku Sriwijaya tulisan Slamet Muljana.

 

Sekarang mari kita meneliti Prasasti Grahi dalam  bahasa primernya yakni Bahasa Khmer Kuno:

 

1105 śaka thoḥ nakṣatra ta tapaḥ sakti kamrateṅ ‘añ mahārāja śrīmat trailokyarājamaulibhūṣanabarmmadeva pi ket
jyeṣṭha noḥ buddhabāra mahāsenāpati talānai ta cāṃ sruk grahi ‘ārādhanā ta mrateṅ śrī ñāno thve pratimā
neḥ daṃṅan mān saṃrit bhāra mvay tul bir ta jā byāy mās tap tanliṅ ti sthāpanā jā pratimā
mahājana phoṅ ta mān sarddhā ‘anumodanā pūjā namaskāra nu neḥ leṅ sa???? pān sarvvajñatā srey
???ha ta jā ????

 

(sumber: History Department of Royal University of Phnom Penh)

 

Perhatikan perkataan ‘talānai‘ di atas. Di sana tiada perkataan ‘gelanai’ atau sekurang-kurangnya ‘galanai’ seperti yang selalu kita baca sebelum ini. ‘Talanai’ menunjukkan sebutan ‘telanai’ itu adalah cognate kepadanya, menurut gaya Bahasa Melayu Klasik. Maka benarlah bahawa pemerintah di Grahi bergelar Telanai. Senapati pula bermaksud panglima perang dan mahasenapati menunjukkan beliau adalah ketua panglima atau jeneral Sriwijaya yang dilantik sebagai gabenor di Grahi.

Dalam Sulalatus Salatin, sekurang-kurangnya terdapat dua watak bernama Telanai. Pertamanya anak menteri Bupala yang bergelar Tun Telanai:

 

Anak Menteri Bupala dititahkan di Bintan, bergelar Tun Telanai, zaman itu dikurniai sirihnya dan air, nasinya makan di balai bertetarupan belaka, dan sampai ke anak cucunya bergelar Telanai juga tiada lain, kerana ia asal Bendahara Bintan

 

Yang kedua ialah pemerintah Terengganu yang bergelar Telanai Terengganu:

 

Pada ketika itu Raja Rekan dan Telanai Terengganu pun ada di Melaka mengadap Sultan Alau’d-Din. Maka raja Maluku dipersalin oleh Sultan Alau’d-Din dengan pakaian anak raja­raja, dan dianugerahi dengan sepertinya.

 

Telanai semacam satu gelaran pemerintah, jika tidak setaraf dengan raja, ia setaraf dengan gabenor atau gelaran aristokrat tertentu seperti sultan, raja, maharaja atau sebagainya, atau gelaran pembesar seperti laksamana, bendahara, seri bija diraja dan sebagainya.

 

Namun oleh kerana di depan Telanai itu terdapat jawatannya, yakni mahasenapati maka Telanai ini bukanlah jawatan lagi, namun satu gelaran keturunan sebagai hint dalam perenggan ‘anak menteri bupala’ itu:

 

Anak Menteri Bupala dititahkan di Bintan, bergelar Tun Telanai, zaman itu dikurniai sirihnya dan air, nasinya makan di balai bertetarupan belaka, dan sampai ke anak cucunya bergelar Telanai juga tiada lain, kerana ia asal Bendahara Bintan.

 

Jarak tahun antara Prasasti Grahi (Trailokyarāja) dan Prasasti Padang Roco (Tribhuwanarāja) adalah kira-kira 103 tahun. Para sarjana bersetuju bahawa Trailokyarāja memiliki kaitan dengan Tribhuwanarāja yang hidup satu abad selepasnya berdasarkan gelaran ‘srimat’, ‘mauli’ dan ‘warmadewa’ yang unik pada kedua-dua tokoh. ‘Srimat’ berasal dari kata ‘srimad’ (Sanskrit) yang selalu digunakan pada kaum pendeta atau orang suci.

Perkataan ‘talanai/telanai’ juga setakat ini tidak ditemui dalam tradisi Siam dan Kemboja malah muncul dalam tradisi Melayu contohnya dalam Sulalatus Salatin.

 

~Srikandi

Save

One Response to “Prasasti Grahi,Thailand: Gelanai & Telanai”